Penggantian gigi tiruan

Implan dibuat daripada titanium, boleh sebati dengan tulang
dan berfungsi sebagai penambat gigi
PERNAHKAH anda terfikir untuk menanam gigi
baru bagi menggantikan gigi yang rosak? Tidak kira sama ada
kerosakan itu disebabkan kemalangan atau penyakit, inovasi
bidang pergigian menjanjikan anda boleh memiliki senyuman
menawan dengan susunan gigi yang sempurna.
Presiden Persatuan Pergigian Implan Malaysia,
Dr Firdaus Hanapiah, berkata implan gigi bukanlah kaedah baru,
sebaliknya ia sudah diperkenalkan sejak 1960an.
Beliau berkata, implan gigi bermaksud penggantian
akar gigi tiruan dan ia dirintis oleh Prof Per-Ingvar Brånemark
dari Sweden.
Katanya, Brånemark mendapati implan yang
dibuat daripada titanium boleh sebati dengan tulang dan berfungsi
sebagai penambat untuk gigi.
“Titanium yang bertindak sebagai implan
dimasukkan ke dalam tulang gusi. Kini asas penciptaan Brånemark
diperbaharui dan terdapat pelbagai jenis implan gigi yang
boleh dipilih oleh pesakit,” katanya.

LUBANG implan selepas gigi dicabut (gambar kiri).
PROSES penanaman implan.
Berbanding dengan alternatif rawatan pergigian
yang lain, implan gigi lebih kuat dan lasak. Ia juga berfungsi
hampir menyamai gigi asal. Oleh itu, ia adalah jawapan kepada
masalah kehilangan gigi kekal.
Dr Firdaus berkata, implan bukan saja boleh
dipasang secara sendiri tetapi ia juga digunakan sebagai sokongan
kepada kaedah pergigian terdahulu seperti jejambat gigi (bridge)
atau bertindak menambah kestabilan gigi.
Selain itu, katanya ia juga boleh berfungsi
mengurangkan masalah tisu gusi.
“Ada beberapa jenis implan dan antara
yang popular ialah implan menyerupai akar (root shape implant)
dan implan satu keping (one piece implant),” katanya.

IMPLAN yang sudah ditanam, tetapi belum dipasangkan gigi
(gambar kiri). GIGI selepas proses implan.
Dr Firdaus berkata, implan gigi tidak sama
dengan gigi palsu, sebaliknya, implan yang diperbuat daripada
titanium bertindak sebagai akar kepada gigi yang hilang. Ia
akan ditanam dalam gusi sebelum gigi yang diperbuat daripada
porselin dilekatkan di atasnya.
Katanya, selain bergantung kepada keadaan gigi
pesakit dan kekuatan tulang bawah gusi, ada kalanya proses
meletakkan implan dan gigi dilakukan beberapa bulan atau hari
selepas gigi dicabut.
Selepas implan ditanam, katanya pemasangan
gigi akan dibuat beberapa ketika selepas itu dan sekali lagi
ia bergantung pada kekuatan tulang bawah gusi pesakit.
Bagaimanapun, Dr Firdaus berkata, bagi pesakit
yang memiliki tulang bawah gusi yang kuat, prosedur membabitkan
penanaman dan pemasangan implan dan gigi dengan kadar segera
boleh dilakukan. Kaedah ini dikenali sebagai implan pasang
segera (immediate loading procedure).
Secara umum, pada peringkat antarabangsa, ada
beberapa tempoh masa diberikan bagi menanam implan selepas
gigi dicabut. Antaranya:
- Implan pasang segera
selepas gigi dicabut
- Pemasangan implan yang
tertunda selepas gigi dicabut (Delayed immediate post-extraction
implant placement) yang memakan masa antara dua minggu atau
tiga bulan selepas dicabut.
- Pemasangan implan lewat
(tiga bulan selepas dicabut)
Pesakit kadang kala tidak mahu menunggu lama
untuk memasang implan selepas gigi dicabut, justeru implan
pasang segera menjadi pilihan.
Prosedur ini membolehkan implan ditanam dan
gigi terus diletakkan di atas. Prosedur ini banyak bergantung
kepada beberapa faktor antaranya tulang gusi yang kuat untuk
menampung implan dan porselin. Jika tulang gusi tidak kuat,
ia tidak boleh dilakukan.
Dr Firdaus berkata, tulang bawah gusi berfungsi
untuk memegang implan dan jika tidak kuat atau nipis, ia tidak
boleh menampung porselin sekali gus menyebabkan pecah.
“Kalau tulang bawah gusi memang tidak
kuat, ia diperbaiki dengan menambah kekuatan tulang menggunakan
tulang sintetik yang diambil daripada rahang atau pinggang
pesakit,” katanya.
Bagaimanapun, katanya bukan semua gigi boleh
diganti dengan implan pasang segera. Hanya gigi yang tidak
memiliki gigitan yang kuat contohnya gigi depan saja boleh
melalui prosedur ini.
Katanya, prosedur penanaman implan tidak terhad
kepada satu gigi saja. Malah, seseorang itu boleh memasang
sehingga 11 implan dalam satu masa.
“Implan memiliki kekuatan yang sama dengan
gigi asal. Ia boleh bertahan lama selagi kita menjaganya seperti
mana penjagaan gigi biasa. Plak juga tidak mudah lekat kerana
ia diperbuat daripada porselin, jadi ia licin,” katanya.
Dr Firdaus berkata, jika hanya satu batang
gigi saja yang ingin diganti, prosedur implan satu keping
menjadi pilihan.
“Biasanya, implan ini dipasang jika hanya
satu batang gigi saja yang rosak atau ia berulang kali berlubang
yang tidak boleh dibetulkan atau gigi hanya tinggal tunggul.
Selalunya, prosedur ini menjadi pilihan mereka yang kemalangan
jalan raya atau mengalami rahang pecah,”
Mengenali proses implan
- Diagnos atau imbasan
seluruh gigi perlu dibuat bagi mendapatkan ukuran. Ini bagi
mendapatkan ukuran panjang implan yang akan ditanam. Panjang
implan adalah berdasarkan panjang akar gigi yang akan diganti.
Biasanya akar gigi orang dewasa adalah antara lapan hingga
15 milimeter (mm) dengan lebar antara 3.3 mm hingga 6 mm.
- Pesakit akan dibius
menggunakan jenis bius setempat dan prosedur memasukkan
implan mengambil masa 10 minit. Proses ini tidak menyakitkan.
sementara gigi belum dipasang, satu alat khas dipasang bagi
menutup permukaan implan. Gigi (crown) akan diletakkan di
atas implan dalam masa dua bulan setengah (minimum).
Kekurangan alternatif lain selain implan
- Secara tradisionalnya
kehilangan gigi akan digantikan dengan gigi palsu. Bagaimanapun,
gigi palsu tidak membolehkan pemakainya menggigit dengan
kuat, mudah patah dan pecah.
- Satu lagi rutin gigi
palsu yang mesti dipatuhi, ia perlu dibuka sebelum tidur
bagi mengelak jangkitan.
- Selain gigi palsu, alternatif
yang ada adalah jejambat gigi (bridge) masalahnya, gigi
di sebelah kiri dan kanan perlu dibetulkan bagi memudahkan
proses menyangkut bridge. Masalahnya gigi yang elok juga
perlu dipotong.
INFO: Siapa yang boleh menggunakan
implan gigi?
Secara umum, mereka yang boleh memilih prosedur
ini adalah;
- Kehilangan sebatang
atau lebih gigi.
- Memiliki tulang bawah
gusi yang kuat atau boleh melakukan prosedur graft tulang.
- Berhadapan dengan trauma
yang menyebabkan gigi rosak, patah atau mengalami penyakit
kekurangan gigi sejak lahir (hypodontia)
- Memiliki tisu mulut
yang sihat
- Tidak berhadapan dengan
masalah kesihatan yang boleh mengugat proses penyembuhan
tulang.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Diagnosis
/20080413023732/Article
|